Skip to content
banner2.jpg
Anda disini:
Program Lawatan Kepimpinan ke UIAM PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Tuesday, 08 February 2011 01:39
GOMBAK: Tanggal 29 Januari 2010 (Sabtu) yang lalu, suatu Program Lawatan Kepimpinan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) julung‐julung kalinya telah diadakan. Program yang dianjurkan oleh Kolej Pak Sako, UNISEL ini membawa rombongan seramai 43 orang ahli majlis residen, 7 orang ahli residen dan 3 orang felo pengiring. Tujuan utama program ini ialah bagi membina ukhuwwah di antara UNISEL dan UIAM di peringkat kolej/mahallah; mewujudkan perkongsian maklumat, ilmu dan pengalaman pengurusan mahallah dan program di UIAM; serta memotivasikan ahli‐ahli majlis residen UNISEL dalam gerakan memajukan kolej dengan mengambil UIAM sebagai sumber rujukan awal.

Rombongan lawatan telah bertolak ke UIAM dengan menaiki sebuah bas yang disediakan oleh pihak UNISEL seawal jam 7:50 pagi. Sebelum bertolak, rombongan telah terlebih dahulu dihidangkan dengan sarapan pagi tajaan operator Kafe Pusat Komuniti Siswa. Dalam perjalanan, setiap peserta rombongan dihadiahkan pula dengan dua naskhah majalah Milenia dan air mineral yang disumbangkan oleh pihak i‐Rakan dan operator kedai di UNISEL. Ketibaan rombongan di UIAM telah disambut oleh ahli majlis Mahallah Siddiq (siswa) dan Halimatus Saadiah (siswi). Rombongan seterusnya dibawa ke dewan makan untuk sarapan pagi, sebelum lawatan dimulakan.

Program dimulakan dengan lawatan ke kawasan dalam Mahallah Halimatus Saadiah, merangkumi lawatan ke pejabat felo, pejabat majlis mahallah, bilik mesyuarat majlis mahallah, bilik‐bilik kediaman, dewan serbaguna dan tidak ketinggalan bilik menjahit. Diperhatikan bahawa kawasan sekitar mahallah ini indah dengan kebersihan, kekemasan dan tanaman‐tanamannya. Tambahan pula, setiap mahallah berdiri gah dengan imej warna temanya yang tersendiri, bertujuan mewujudkan semangat persaingan di kalangan mahallah. Di saat ahli rombongan melawat bilik‐bilik kediaman, kedengaran makluman‐makluman penting dipancarkan daripada PA system. Uniknya, rombongan difahamkan bahawa, bagi mencuri perhatian para penghuni mahallah, lagu‐lagu bercorak Islamik didahulukan sebelum sesuatu pengumuman disiarkan. Seterusnya, rombongan di bawa melawat ke kawasan luar mahallah seperti bangunan canseleri, masjid, perpustakaan dan kulliyyah‐kulliyyah.

Slot kedua program yang lebih berbentuk indoor dimulakan sesudah solat Zohor dan jamuan makan tengahari. Slot ini dimulakan dengan pembentangan bertajuk Sharing Moment IIUM and UNISEL yang memberikan kefahaman tentang latar belakang, organisasi, pemilihan ahli majlis dan aktiviti‐aktiviti mahallah. Manakala pembentangan kedua bertajuk How to Manage a Program mengemukakan pengalaman jawatankuasanya dalam merancang, mengurus dan melaksanakan Seminar Pembangunan Mahasiswa di Kolej Kediaman Peringkat IPT 2010 (SEPAKAT 2010) yang turut disertai oleh wakil ahli majlis residen UNISEL pada 21 hingga 23 Julai 2010. Slot ini diakhiri dengan ucapan daripada Dr. Muhd. Fuzi Omar selaku Pengetua Mahallah Siddiq dan ucapan balas daripada En. Izwan Suhadak Ishak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Felo Residen, UNISEL serta upacara penyampaian cenderahati yang disumbangkan oleh pihak Jana Niaga Sendirian Berhad. Program ditamatkan pada jam 5:30 petang selepas jamuan makan petang dan sesi bergambar. Rombongan menunaikan solat Asar terlebih dahulu sebelum mula bergerak pulang ke UNISEL.

Dirumuskan bahawa, sebagai sebuah universiti baru, setiap entiti dalam UNISEL harus berlapang dada untuk sentiasa membuka ruang menimba ilmu dan pengalaman daripada institusi‐institusi seumpamanya bagi memaksimumkan sumber sedia ada agar suasana pembelajaran yang serius turut sama disokong oleh program‐program yang dapat membantu memperkasa potensi‐potensi kepimpinan mahasiswa. Lebih‐lebih lagi, “kita memegang harapan dan amanah mahasiswa dalam memberi makna kehidupan selama tempoh mereka di universiti”, sekadar meminjam inspirasi daripada Pengerusi Mahallah Halimatus Saadiah.

Nota: Penghargaan juga kepada semua pihak yang telah memberi sokongan padu kepada program ini (jika tidak tersebut dalam teks ini). Rujuk gambar‐gambar kenangan yang dilampirkan. Jazakallahu kahiran kathira.

SHIREEN MUHAMMAD
Felo Residen
Kolej Pak Sako, UNISEL
29 Januari 2011
Last Updated on Tuesday, 08 February 2011 01:49